Friday, August 21, 2015
Diagnosis demam denggi secara klinikal kadangkala menyebabkan kekeliruan . Oleh itu diagnosis makmal adalah sangat penting. Terdapat 3 teknik untuk mendiagnosis denggi di makmal iaitu secara isolasi virus, serologi dan mengenalpasti DNA virus denggi. Kini terdapat satu peralatan komersial yang dipanggil 'Dengue Blot' yang digunakan untuk tujuan yang sama.

1. Isolasi virus denggi

Isolasi virus denggi dari darah atau spesimen tisu adalah cara yang paling konklusif untuk diagnosis denggi. Walaubagaimanapun tatacara ini bukanlah mudah kerana virus ini tidak hidup dengan baik di dalam binatang dan kultur sel. Satu cara yang telah dimodifikasikan supaya keputusan didapati dengan mudah dan lebih cepat adalah dengan mengisolasikan virus melalui inokulasi larva 'Toxorhynchites splendens' (Lam 1993). Pusat Demam Denggi dan Demam Denggi berdarah di Universiti Malaya dengan kerjasama WHO telah menggunakan teknik kombinasi inokulasi nyamuk dan kultur sel nyamuk

2. Serologi

Kebanyakan makmal menggunakan teknik serologi bagi mengenalpasti penyakit denggi. Ujian piawaian bagi penyakit denggi adalah 'Haemagglutination Inhibition Test'(HI). Ujian ini berdasarkan kepada keupayaan antibodi seseorang menghalang virus denggi dari mengaglutinasikan sel-sel darah merah yang tertentu. Selain dari memastikan jangkitan denggi ujian HI ini juga berupaya memastikan samada jangkitan adalah primer atau sekunder berdasar kepada tahap antibodi. WHO telah menetapkan titer bagi jangkitan sekunder sebagai 1:2560, manakala Malaysia pula menggunakan titer1:1280.

Ujian yang lebih cepat ialah pengesanan denggi IgM melalui 'Enzyme-Linked Immunoabsorbent Assay'(ELISA). IgM ini didapati hanya seketika pada jagkitan primer dan sekunder dan pengesanan IgM di dalam serum menunjukkan kepada jangkitan aktif atau jangkitan yang baru. Lebih dari 6,000 sampel serum telah diuji dengan ujian HI dan ELISA dan didapati kedua-dua ujian adalah sama dari segi spesifisiti dan sensitiviti. Namun begitu ELISA lebih cepat, hanya memakan masa beberapa jam bagi jangkitan sekunder dan 7 hari untuk jangkitan primer.

3. Dengue Blot

Dengue Blot adalah satu peralatan komersial yang telah dimodifiaksikan dari ujian ELISA. Kajian yang telah dilakukan bagi mengetahui keberkesanan Dengue Blot mendapati ia mempunyai sensitiviti 100% bagi jangkitan sekunder dan hanya 28.6% bagi jangkitan primer. Oleh itu ujian ini berguna sebagai ujian saringan terutama sekali di negeri-negeri yang endemik dimana sebilangan besar penduduk telah dijangkiti virus denggi. Sampel-sampel yang negatif perlu dibuat ujian serologi yang lain (Lam 1993).

4. Pengesanan asid nuklik virus

Ini merupakan satu teknik yang baru dengan menggunakan teknik 'Polymerase Chain reaction'(PCR). PCR telah dapat memastikan beberapa kematian akibat denggi apabila teknik-teknik lain gagal berbuat demikian.

0 comments:

Popular Posts